Assalammualaikum! Selamat datang ke ruangan badan perhubungan umno .
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Pembangkang Mesti Mohon Maaf

| | Wednesday, August 11, 2010
|

Pembangkang Mesti Mohon Maaf -Muhyiddin








KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Sultan Johor telah murka angkara yang berlaku, oleh itu, pakatan pembangkang mesti memohon ampun dan maaf kepada Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau berkata, kepimpinan pakatan pembangkang perlu berbuat demikian kerana perbuatan itu jelas tidak menghormati institusi raja selain boleh disifatkan sebagai menjatuhkan maruah serta martabat institusi berkenaan.

Beliau berkata, kemurkaan Sultan Johor ketika menyentuh mengenai isu tersebut turut memberi isyarat bahawa tindakan pembangkang itu merupakan satu kesalahan yang sepatutnya tidak harus dilakukan.

”Mereka mesti memohon ampun dan maaf kepada Sultan Johor ekoran isu ini. Apabila raja murka sudah tentu ada kesalahan yang dilakukan.

”Sebagai rakyat Malaysia, adat kita apabila raja murka ialah mendapatkan ribuan kemaafan dan keampunan daripada baginda dan pastikan perbuatan itu tidak diulangi pada masa akan datang,” katanya di Perbadanan Kraftangan di sini hari ini.

Beliau mengulas kemurkaan Sultan Johor terhadap tindakan sebuah parti politik menggunakan gambar baginda menerusi poster pada majlis ceramah di Batu Pahat, baru-baru ini.

Berikutan perbuatan pembangkang tersebut, Sultan Johor dalam titahnya pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 di Kota Tinggi, semalam mengingatkan rakyat negeri itu supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang boleh merosakkan kerukunan hidup bermasyarakat.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, dalam apa jua situasi sekalipun pihak pembangkang harus memahami kedudukan raja dan peranannya sebagai payung negara.

”Selama ini pun institusi raja cukup dihormati dan disanjung tinggi oleh segenap lapisan rakyat di negara ini,” katanya.

Justeru beliau berkata, institusi tersebut harus dipertahankan dan bukan dipermain serta dieksploitasikan oleh mana-mana pihak.

”Saya tidak tahu apakah sebabnya pembangkang boleh melakukan perbuatan sejauh ini.

”Walau apa pun saya mahu pihak pembangkang lebih menghormati kedudukan raja dan jangan sesekali mereka memperkecil dan mempermainkan hal seperti ini,” ujarnya.


0 comments:

Post a Comment

 

Labels