Assalammualaikum! Selamat datang ke ruangan badan perhubungan umno .
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Waktu Solat Laporan Cuaca Berita Utama Dalam Negeri Wilayah Laporan Khas Parlimen Politik Luar Negara Sukan Bisnes Mahkamah Jenayah Ag

| | Friday, September 10, 2010
|

















Umat Islam di Malaysia sambut hari lebaran dengan penuh kemeriahan

10/09/2010 1:03pm

KUALA LUMPUR 10 Sept — Umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama-sama keluarga dan tradisi rumah terbuka ketika negara terus menikmati keamanan, keharmonian serta dilimpahi kemakmuran.

Di setiap pelusuk negara, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin untuk menunaikan sembahyang Aidilfitri pada pagi Syawal selepas genap sebulan berpuasa.

Budaya balik kampung, satu ciri penting bagi memelihara hubungan antara mereka yang menetap di bandar dan kawasan maju dan mereka yang mengekalkan tradisi, budaya dan cara hidup di luar bandar, diteruskan sehinggakan ibu kota Kuala Lumpur lenggang pada pagi hari lebaran.

Amalan mengadakan rumah terbuka, sesuatu yang lumrah di kalangan pelbagai kaum di Malaysia semasa sambutan hari kebesaran masing-masing, menjadi antara tumpuan utama seperti kebiasaannya, dengan beribu-ribu orang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama jemaah menteri di kediaman rasminya di Seri Perdana.

Di ibu negara, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berangkat ke Masjid Negara untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri bersama-sama rakyat jelata.

Baginda diiringi Najib, Muhyiddin, beberapa menteri Kabinet serta para duta dan diplomat asing yang beragama Islam.

Khutbah disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Jamil Khir Baharom.

Selesai solat, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kemudiannya beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berkenan menerima menghadap orang-orang kenamaan dan duta-duta serta perwakilan asing di Istana Negara.

Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 4,000 jemaah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Turut menunaikan solat bersama baginda ialah Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri.

Sebaik sahaja selesai menunaikan solat, jemaah mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan Sultan Pahang dan ahli keluarga baginda sebelum meninggalkan masjid.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob turut mengadakan majlis rumah terbuka bermula 2.30 petang hingga 6 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Di KUALA KANGSAR, Sultan Perak Sultan Azlan Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama lebih 2,000 rakyat jelata di Masjid Ubudiah.

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, kerabat-kerabat diraja dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut sama menunaikan solat di masjid tersebut.

Para jemaah kemudian mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan baginda selepas selesai menunaikan solat.

Dr Zambry mengadakan rumah terbuka beliau di kediaman rasminya di Ipoh mulai pukul 3 petang hingga 6 petang.

Di GEORGE TOWN, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah turut pulang ke kampung halamannya di Kepala Batas untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Selepas menunaikan solat di Masjid Jamek Al-Jamiul Badawi, Abdullah bersama isteri terus menziarahi pusara kedua ibu bapanya.

Selain itu, Abdullah turut menghadiri Majlis Makan Pagi bersama Abdul Rahman dan isteri serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainal Rahim Seman dan Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob di Anjung Mutiara, Seri Mutiara di sini.

Abdullah akan mengadakan rumah terbukanya di Kompleks Budi Penyayang, Kepala Batas pada 18 Sept.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu”adzam dan Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun serta Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Zahir di sini.

Selepas solat, orang ramai mengambil peluang untuk bersalaman dengan Baginda Tuanku dan juga Menteri Besar.

Sambutan Aidilfitri di negeri ini pada tahun ini agak meriah kerana musim menuai baru berlalu dan kebanyakan petani sempat mendapat hasil jualan padi sebelum 1 Syawal.

Rata-rata petani yang ditemui berkata walaupun beban perbelanjaan untuk persiapan hari raya kurang dirasai, namun mereka tetap berbelanja secara ala kadar dan sederhana.

Di ARAU, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid menyertai rakyat jelata menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri di sini.

Turut menyertai baginda berdua menunaikan solat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda turut berkenan bersalam-salaman dengan para jemaah selepas solat sebelum berangkat bersama Raja Perempuan dan Raja Muda Perlis menziarahi makam diraja Arau yang terletak kira-kira 200 meter dari situ.

Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis turut berkenan menerima menghadap para pembesar dan rakyat jelata pada rumah terbuka di Istana Arau selama dua jam bermula pukul 9.30 pagi.

Antara pembesar yang hadir termasuk Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Penasihat Undang-undang Perlis, Abdul Rasid Sudin.

Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 umat Islam di Masjid Jamek Negeri.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menteri-menteri persekutuan dan negeri. Selepas menunaikan solat, Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah mengadakan rumah terbuka di Astana Negeri, Petra Jaya, di sini.

Sementara itu, Taib mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama-sama lebih 2,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini.

Turut serta menunaikan solat di masjid yang sama ialah Ahli Majlis Perwakilan Raja dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah.

Mereka kemudiannya menziarahi Makam diRaja di perkarangan masjid berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar mengadakan rumah terbuka di kediamannnya di Batu Buruk di sini hari ini dan di Telok Kalong, Kemaman, Khamis ini.

Sambutan di seluruh negeri juga meriah walaupun keadaan di sesetengah tempat mendung dan hujan renyai sejak awal pagi.

DI SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Tengku Amir Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 15,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad.

Selepas menunaikan solat, baginda dan Raja Muda kemudian bersalaman dan beramah mesra dengan rakyat jelata.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob bersama-sama kira-kira 10,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Al-Azim di Bukit Palah.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan barisan pemimpin lain.

Selesai solat, Mohd Khalil dan Mohd Ali mengadakan rumah terbuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh bermula 10 pagi hingga 3 petang.

- BERNAMA


p/s:apa pun sifat kesederhanaan kita harus lah ada"jgn lah lupa pada yang kurang mampu"

terima kasih pada yang membuat derma atau sambutan hari raya rumah-rumah anak yatim*

semoga lembaran tahun ini membuka ruangbaru untuk kita bersama-sama menjadi manusia yang lebih prihatin.

dan pada yang sedang dalam perjalanan kekampung"

sallam dari UMNO ucapan semoga selamat sampai "dan ceria bersama keluarga tercinta.

wasallammualaikum"selamat hari raya*


0 comments:

Post a Comment

 

Labels