3 prinsip penting pembangunan negara dan rantau - TPM
PETALING JAYA 13 Nov. - Setiap negara serta rantau di dunia perlu mendukung tiga prinsip penting dalam pembangunan masing-masing iaitu mewujudkan pentadbiran kerajaan yang baik, masyarakat berdedikasi serta rakyat yang bersatu- padu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehubungan itu mengingatkan belia-belia Asia yang akan mengetuai kepimpinan negara masing-masing pada masa depan supaya memahami serta menghormati kebudayaan negara lain bagi memastikan kesemua prinsip itu dijaga dengan baik.
"Dalam kes Malaysia, konsep 1Malaysia menunjukkan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya boleh hidup dalam keadaan yang harmoni.
"Pemahaman sebegini membolehkan para pemuda dan pemudi seperti anda untuk kekal berhubung di antara satu sama lain seterusnya mewujudkan keamanan serta kesejahteraan di antara negara kita semua," katanya dalam ucapan menyambut ketibaan 319 belia dari Jepun dan 10 negara Asia Tenggara yang terlibat dalam Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) Ke-37 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu. Hadir sama Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie.
Ping Sieu dalam sidang akhbar selepas itu memberitahu, Kabinet Jepun membuat keputusan untuk meneruskan program SSEAYP pada tahun-tahun mendatang walaupun dunia kini menghadapi kesukaran ekonomi.
Menurutnya, program itu penting kerana ia berupaya mendekatkan hubungan para peserta dari pelbagai negara seterusnya membolehkan mereka memahami serta menghormati kebudayaan masing-masing.
Dalam perkembangan sama, Masahiko berkata, program SSEAYP yang menggunakan kapal Fuji-maru kali ini mencatatkan rekod tersendiri apabila jumlah keseluruhan peserta kini melebihi 10,000 orang sejak ia diperkenalkan pada 1974.
Katanya, kapal itu memulakan pelayaran dari Jepun pada 4 November lalu dengan Malaysia sebagai negara persinggahan pertama dalam program SSEAYP kali ini sebelum meneruskan pelayaran ke Thailand, Indonesia, Singapura serta Vietnam dan akan kembali semula ke Jepun pada 15 Disember ini.
Kesemua 319 peserta itu tinggal bersama-sama di atas kapal Fuji-maru selama 42 hari bagi mengenali kebudayaan masing-masing dan turut diserahkan kepada keluarga angkat di setiap negara persinggahan.
Program yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Jepun itu dimulakan pada 1974 serta membabitkan belia dari kesemua 10 negara ASEAN.