Senator digesa tidak berpihak
|
|
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Para senator digesa supaya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik ketika membahaskan rang undang-undang yang dibentangkan untuk diluluskan Dewan Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, walaupun ada yang memegang jawatan tinggi dalam parti tertentu, perbahasan mereka sepatutnya berkisar kepada isu yang penting untuk masyarakat dan negara tanpa dipengaruhi fahaman politik masing-masing.
"Sepatutnya perbahasan di Dewan Negara ditumpukan kepada subjek yang ada di hadapan kita tanpa mengira fahaman politik kerana pelantikan ke Dewan ini dibuat secara terus tanpa melalui pilihan raya.
"Ini berbeza dengan Dewan Rakyat apabila ahli-ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya akan mengemukakan pandangan yang banyak dipengaruhi pendirian parti masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan perpisahan bagi meraikan 17 senator yang telah atau akan menamatkan perkhidmatan mereka di Dewan Bankuet bangunan Parlimen di sini hari ini.
Antara senator terlibat, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Datuk Kamarudin Ambok, Datuk Abdul Rashid Ngah dan Datuk Roslan Awang Chik.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; timbalannya, Datuk Armani Mahiruddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Menurut Mohamed Nazri, kerajaan memandang serius segala cadangan dan teguran yang dibuat oleh semua senator dan beliau sendiri sentiasa menyampaikannya untuk pengetahuan mesyuarat Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Abu Zahar dalam ucapannya memuji para senator kerana menunjukkan prestasi yang amat memuaskan ketika berbahas pada sidang Dewan.
"Nampaknya penglibatan ahli-ahli Dewan Negara cukup aktif dengan ramai yang mahu bercakap sehingga sidang terpaksa dilanjutkan ke lewat malam.
"Saya juga mahu mengingatkan bahawa kita para senator adalah satu Ahli Dewan Negara dan satu kumpulan serta bukannya mewakili parti politik tertentu ketika menghadiri sidang ini," katanya.
Sementara itu, Musa dalam ucapan bagi mewakili para senator berkenaan, meminta menteri dan timbalan menteri supaya tidak berkecil hati dengan teguran yang dibuat oleh beliau dan ahli Dewan Negara lain kerana ia bertujuan meningkatkan mutu sidang itu.
Beliau berkata, teguran dibuat kerana terdapat di kalangan menteri dan timbalan menteri yang menjawab soalan secara panjang lebar dan retorik tanpa menyentuh isu sebenar yang dibangkitkan.
Bagaimanapun beliau memuji sikap sesetengah menteri dan timbalan menteri yang membuat persediaan secukupnya dan dapat memberi jawapan secara spontan tanpa merujuk kepada teks yang disediakan.
p/s: ada kebenaran nya"dimana seorang pemimpin semula jadi adalah org yang
bukan jenis memilih atau jenis berpihak disatu tempat"dia mesti lah mempunyai pendirian"
yang tinggi"sebab mereka adalah idola yang contoh pada masyarakat dan generasi.
kerana sifat kepimpinan akan membawa mereka untuk memimpin negara dan masyarakat ke jalan yang dituju.